April 10, 2008

Info Sihat : Batu Karang Dalam Hempedu

Batu hempedu adalah batu-batu kecil yang hadir dalam pundi hempedu, ia berbeza dari segi saiz dan boleh wujud sama ada dalam bentuk partikel yang kecil ataupun batu besar yang memenuhi ruang pundi hempedu. Keadaan ini biasanya dialami oleh golongan wanita.

Masalah ini berlaku adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan komponen dalam hempedu. Hempedu ialah bahan penting yang dihasilkan oleh hati, disimpan dalam pundi hempedu dan kemudian dirembeskan ke dalam usus kecil untuk membantu dalam pencernaan lemak, minyak dan vitamin larut lemak. Ia adalah suatu campuran yang terdiri daripada garam hempedu, bilirubin, kolesterol, fosfolipid dan asid-asid lemak.

Batu hempedu biasanya berasal daripada hablur kolesterol kecil dalam hempedu. Sekiranya kandungan kolesterol meningkat, hempedu akan menjadi lebih tepu. Hablur ini akan bergumpal dan mengikat dengan bahan lain seperti kalsium, ini seterusnya akan menyumbang kepada pembentukan batu hempedu yang lebih besar.

Faktor seperti pengambilan serat yang rendah dalam diet, obesiti, tekanan dan gaya hidup yang tidak aktif boleh menyumbang kepada masalah batu hempedu. Didapati juga bahawa kurang bersenam boleh mengurangkan perembesan hempedu, manakala obesiti pula membebankan pundi hempedu lalu menyebabkannya menjadi lembap dan tidak boleh berfungsi dengan baik.

Pengambilan karbohidrat ringkas dan gula yang berlebihan boleh mengurangkan aliran hempedu, menjejaskan metabolisme kolesterol dan meningkatkan kandungan kolesterol darah.

Pada beberapa tahun yang awal, seseorang yang mempunyai masalah batu hempedu biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom tetapi, apabila batu hempedu ini menyekat aliran hempedu dari pundi hempedu, simptom seperti ketidakselesaan abdomen, kekembungan, bersendawa, sembelit yang kronik, sakit kepala, mudah panas baran dan gementar akan berlaku. Dalam kes yang kronik, pundi hempedu akan mengecut dan berparut.
Suplemen lain yang boleh membantu ialah lesitin. Lesitin membantu menjadikan kolesterol lebih larut lalu mengurangkan masalah batu hempedu.

Vitamin C juga diperlukan untuk penukaran kolesterol kepada garam hempedu. Individu yang berisiko tinggi untuk menghidapi masalah batu hempedu biasanya mempunyai paras asid askorbik (vitamin C) yang rendah. Oleh itu, pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin C seperti buah-buahan tempatan adalah penting.

Faktor diet dan gaya hidup untuk pundi hempedu yang sihat

Diet yang rendah lemak membantu mencegah masalah batu hempedu, mengurangkan kesakitan dan keradangan (inflamasi) yang berkait dengan batu hempedu.
Kurangkan pengambilan kopi. Kopi boleh mencetuskan kesakitan pundi hempedu pada sesetengah individu.
Minum 6-8 gelas air setiap hari untuk mengekalkan kandungan air dalam hempedu supaya hempedu tidak menjadi terlalu pekat.
Meningkatkan pengambilan serat untuk mencegah pembentukan batu hempedu
Oleh sebab orang yang obes lebih cenderung untuk menghidapi masalah batu hempedu, pengambilan diet yang seimbang, bersenam dan memelihara berat badan yang sihat adalah penting dalam membantu mencegah pembentukan batu hempedu.

No comments: