September 2, 2009

Info Sihat : ROTAVIRUS menyebabkan kanak-kanak diserang demam.



BERITA HARIAN : Kesihatan Anak
Oleh Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik Persatuan Pediatrik Malaysia.





ROTAVIRUS menyebabkan kanak-kanak diserang demam.

ANAK anda sering muntah dalam tempoh beberapa jam yang lalu. Episod muntah adalah tindak balas badan kita mengeluarkan toksin daripada perut. Biasanya muntah bukanlah satu keadaan yang serius dan kebanyakan kes berhenti dalam tempoh beberapa jam.

Bagaimanapun, anda perlu berasa bimbang apabila suhu badan anak anda mula meningkat dan kemudian dia mengalami cirit-birit.

Muntah-muntah dan cirit-birit kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Walaupun kebanyakan kes muntah dan cirit-birit disebabkan oleh keracunan makanan, sakit perut atau meningitis, ada juga kes yang sering dialami kanak-kanak dan bayi disebabkan jangkitan virus dikenali sebagai gastroenteritis akut.

Gastroenteritis adalah masalah radang perut dan usus. Walaupun tidak begitu serius kepada kanak-kanak, ia boleh membahayakan dan dalam sesetengah kes boleh mengancam nyawa bayi. Penyebab utama gastroenteritis ialah sejenis virus yang dipanggil rotavirus.

Mengenali rotavirus

Rotavirus adalah sejenis virus yang amat mudah berjangkit dan menyebabkan jangkitan pada usus. Ia sering dikesan dalam najis kanak-kanak yang sudah dijangkiti dan disebarkan melalui sentuhan.



Hal ini sering berlaku apabila kanak-kanak tidak mencuci tangan selepas masuk ke tandas atau sebelum makan. Penyebaran virus boleh berlaku daripada seorang kanak kepada kanak-kanak lain di pusat jagaan anak dan nurseri. Ia juga boleh merebak melalui orang dewasa yang sudah berjangkit atau yang menguruskan bayi yang sudah dijangkiti.

ROTAVIRUS mudah berjangkit.

Rotavirus mampu bertahan selama beberapa jam di tangan manusia serta berhari-hari di permukaan yang keras dan kering. Ini bermaksud ia mudah merebak melalui air atau makanan yang tercemar atau apabila kanak-kanak menyentuh objek atau permukaan yang dijangkiti lalu tangannya dimasukkan dalam mulut.

Risiko terhadap kanak-kanak

Di Malaysia, 38 peratus kanak-kanak yang masuk hospital kerana gastroenteritis akut disebabkan oleh rotavirus. Kebanyakan kanak-kanak akan dijangkiti virus ini sebelum berusia lima tahun.

Jangkitan rotavirus kepada kanak-kanak yang lebih besar (dari segi usia) tidak begitu berbahaya, namun amat berbahaya kepada kanak-kanak yang berusia dua tahun ke bawah. Bagi bayi pula, mereka menghadapi masalah yang paling serius kerana serangan rotavirus boleh menyebabkan dehidrasi (kekurangan cecair dalam tubuh badan) kesan daripada muntah dan cirit-birit yang teruk. Selain berhadapan dengan masalah dehidrasi, terdapat juga risiko mengalami masalah menghadam laktosa yang disebabkan oleh cirit-birit berterusan.

Apa akan terjadi jika kanak-kanak dijangkiti rotavirus?

Pada peringkat awal kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus akan mengalami demam dan muntah-muntah, diikuti dengan cirit-birit yang teruk dengan najis berair. Dalam kebanyakan kes, demam dan muntah selama dua hingga tiga hari manakala cirit-birit pula berlarutan hingga seminggu. Gejala lain termasuk kurang selera makan, sakit badan, air kencing yang berkurangan dan tidak bermaya.

Sekiranya anak anda menunjukkan tanda-tanda awal jangkitan rotavirus atau dehidrasi, anda perlu:
• Beri anak anda minum satu hingga 1.5 liter cecair sehari seperti cecair garam rehidrasi atau isotonik. Jika anak anda muntah, pastikan dia kerap mengambil cecair atau susu dalam jumlah yang kecil setiap jam atau setengah jam.
• Bubur juga boleh diberikan dalam jumlah yang kecil bagi memastikan anak anda menerima khasiat yang mencukupi. Elakkan daripada memberi makanan atau minuman dalam jumlah yang banyak jika dia muntah-muntah.
• Beri ubat parasetamol untuk menurunkan suhu badannya.
• Pastikan diri anda, anak anda dan orang lain mencuci tangan selepas menggunakan tandas dan sebelum makan.
• Untuk bayi yang berusia di antara 6 hingga 24 bulan, muntah dan cirit-birit yang serius boleh menyebabkan dehidrasi (kehilangan air) sekali gus menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang atau kerosakan otak. Jika dijangkiti, anak anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera untuk menggantikan air yang hilang melalui cecair intravena. Jika tidak dirawat, dehidrasi akan bertambah teruk dan boleh membawa maut.

Adakah jangkitan rotavirus boleh dielakkan?

Antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuk menyusukan anak anda dengan susu badan serta menggalakkan setiap ahli keluarga mengamalkan kebersihan yang baik di rumah.
• Pastikan semua peralatan makanan bersih dengan mencuci pinggan mangkuk, botol, sudu dan garfu menggunakan air panas.
• Mengambil berat mengenai kebersihan apabila menyediakan makanan untuk keluarga
• Jangan menyimpan makanan yang sudah masak di dalam peti ais lebih daripada dua hari
• Pastikan semua makanan sudah dipanaskan semula dengan baik sebelum dimakan.

Walaupun kesemua langkah pencegahan ini diamalkan manakala rotavirus adalah sejenis virus yang mudah berjangkit, penyusuan ibu serta kebersihan yang sempurna tidak mampu melindungi anak anda sepenuhnya. Satu cara yang berkesan adalah dengan mengambil suntikan vaksin untuk virus ini.

Vaksin rotavirus

Vaksin rotavirus amat berkesan jika diambil pada peringkat awal. Ia boleh diberi secara oral. Matlamat vaksin ini untuk merangsang sistem imun badan daripada usia yang muda supaya apabila anak anda dijangkiti rotavirus untuk kali pertama, dia hanya mengalami jangkitan yang sederhana atau tanpa gejala-gejala yang serius. Jika dia dijangkiti lagi, anak anda akan mendapat perlindungan kecil.

Artikel Positive Parenting ini dihasilkan oleh Malaysian Paediatric Association dengan sumbangan geran pendidikan tanpa syarat dari GlaxoSmithKline.

Sila Layari Laman Untuk Pendidik :
www.xmpsp.com

5 comments:

ambrynaa said...

minta kebenaran amik info ni :)
http://ambrynaa.blogspot.com/2011/02/aimy-di-serang-rotavirus.html

suzan said...

Info yang sangat berguna, terima kasih.

Zima Yusoff said...

Silakan.. thanks

Anonymous said...

Anak saya pun kena serangan rotavirus...

yanti said...

Bagus sgt info ni..baru tau gara2 bby iki kena jgkitan virus muntah ni kat nursery